
Sekapur Sirih Daripada PENGETUA
Assalamualaikum w.b dan salam sejahtera.
Syukur alhamdulillah. Dengan izin Allah tahun 2012 telahpun tiba. Seperti tahun-tahun terdahulu, tahun ini juga penuh dengan cabaran. Justeru cabaran tahun ini harus ditangani dengan penuh cemerlang sesuai dengan visi dan misi kita untuk menjadi sekolah gemilang 2012. Marilah kita buka diari 2012 deengan menggarap minda dan idea yang kreatif dan inovatif serta bertindak dengan proaktif berteraskan intelektualisme yang mantap melalui perancangan dan pendekatan yang komprehensif, bersepadu dan sistematik demi menghasilkan kumpulan pelajar yang gemilang tersebut.
Perkhidmatan pendidikan kini sangat bertunjangkan sains dan teknologi yang boleh diperolehi melalui penguasaan bahasa Inggeris. Menyedari hakikat ini, rakan guru perlu mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Ini kerana para guru bertanggungjawab membimbing anak didik dengan ilmu dan pengetahuan terkini khususnya berbantukan komputer bagi melahirkan produk pelajar yang berkemahiran dan berketrampilan dalam pelbagai bidang. Sesungguhnya kecemerlangan usaha mendidik secara menyeluruh dan seimbang akan melahirkan modal insan yang berilmu yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara.
Mutu pendidikan rakan guru yang berkualiti boleh diwujudkan melalui proses pengajaran dan pemelajaran yang bukan sahaja licin dan cekap tetapi harmonis dan berteraskan ilmu. Proses ini mencakupi pengurusan kurikulum, kokurikulum, bahan dan persekitaran. Kesemua angkubah ini memerlukan keseimbangan dan kebijaksanaan semua rakan guru dalam mengambil tindakan untuk mencapai suatu budaya pengurusan pengajaran dan pemelajaran yang gemilang di mana budaya ilmu menjadi ciri utamanya.
Dalam proses menjelmakan impian di atas menjadi kenyataan rakan guru diminta melihat dan menggunakan kekuatan diri yang sedia ada yang diperolehi melalui pengalaman dan pembacaan untuk diterapkan dalam proses pengajaran dan pemelajaran bagi membantu melahirkan produk pelajar yang berkualiti. Pengalaman dan pembacaan bukan sahaja dapat mengembangkan tubuh ilmu tetapi juga boleh menjadikan seseorang pendidik berfikir secara kritis, matang, dan terbuka.
Selamat menabur ilmu dan bakti kepada anak-anak didik tercinta.
“SAKTI MENERAJUI"
Sekian. Wassalam.
Saya yang menurut perintah,
Pengetua,
SM Sains Kota Tinggi,
81930 Bandar Penawar,
Kota Tinggi,
Johor.